Dulu asnaf, kini ‘tauke’..

DUA asnaf kini mampu tersenyum apabila berjaya keluar daripada kepompong kemiskinan selepas menerima bantuan kendera saji atau food truck melalui zakat bagi memulakan perniagaan.

Peniaga, Kamarul Arrifin Abdullah, 45 berkata, sebelum ini perniagaan yong tau fu dan tauhu bakar diusahakan di bawah khemah empat tahun lalu hanya mampu meraih pendapatan tidak melebihi RM1,500.

Menurutnya, kehidupannya berubah selepas diperkenalkan bantuan kendera saji oleh Lembaga Zakat Selangor (LZS) dan Teraju Ekonomi Asnaf Sdn Bhd (TERAS).

“Dari situ, perniagaan saya lebih dikenali terutamanya dalam kalangan penduduk Puncak Alam kerana saya bebas berniaga di merata tempat terutama di kawasan tumpuan penduduk.

“Lebih membanggakan apabila kini saya mampu meraih pendapatan sekurang-kurangnya RM7,000 sebulan, seterusnya keluar daripada golongan asnaf,” katanya ketika ditemui dalam Majlis Jamuan Raya TERAS, Klang, hari ini.

Dalam pada itu, seorang lagi peniaga makanan dan minuman, Suriana Jali, 45, berkata sebelum mendapat bantuan kendera saji, dia hanya berniaga menggunakan kereta Perodua Kelisa untuk bergerak.

“Kereta ini agak kecil sehingga menyukarkan saya berniaga dalam kuantiti banyak. Kadang-kadang saya berniaga memang tiada untung.

“Namun, semuanya berubah apabila terlihat sebuah kendera saji berwarna hijau dengan cetakan LZS. Daripada situ, saya membuat carian mengenainya di LZS dan memohon bantuan bagi kenderaan itu.

“Saya memang sudah berjanji dengan diri saya untuk keluar daripada golongan asnaf. Alhamdulillah, usaha itu tidak sia-sia dan kini saya mampu mengupah tiga pekerja sendiri,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi TERAS, Datuk Ibrahim Md Yusof berkata, semua mereka dahulu adalah golongan asnaf yang berjaya keluar daripada kategori itu.

“Kejayaan ini adalah usaha mereka dalam mengubah kehidupan sendiri dengan menggunakan bantuan diberikan menerusi zakat,” katanya.

https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=10157539792982052&id=211591442051

Tags: No tags

Add a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *