26 Julai 2022 | Masa 9.00 Pagi | Shah Alam | – Teraju Ekonomi Asnaf Sdn. Bhd. (TERAS), sebuah anak syarikat milikan penuh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) telah mengadakan satu Program Transformasi Usahawan Asnaf Selangor (TUAS) 2022 bertempat di Dewan Orked, Wisma PKPS, Shah Alam.
Menurut YAD Tan Sri Dato’ Seri Abdul Aziz bin Mohd Yusof selaku Pengerusi MAIS, di dalam program ini seramai 170 orang usahawan asnaf dan bekas asnaf telah dihimpunkan bersama-sama dengan pelbagai agensi pembiayaan perniagaan dan juga jemputan khas di kalangan mereka yang telah berjaya di dalam perniagaan untuk memberi motivasi kepada para usahawan asnaf dan seramai 10 orang usahawan telah menerima Anugerah Ikon Usahawan Asnaf 2022.
Dalam pada itu, beliau berkata, melalui Program Pembangunan Usahawan Asnaf yang diuruskan oleh Teraju Ekonomi Asnaf Sdn Bhd (TERAS), hampir 1,000 orang usahawan asnaf telah diberikan latihan perniagaan dalam pelbagai aspek setiap tahun.”
“Diucapkan syabas dan tahniah kepada TERAS kerana sepanjang sembilan (9) tahun ke belakang ini ramai usahawan asnaf yang telah berjaya di bantu melalui program usahawan ini. Dan lebih membanggakan, bermula tahun 2013 hingga 2021, seramai 1,228 orang telah berjaya bebas dari asnaf dan kini berjaya pula menjadi pengeluar zakat. Alhamdulillah.”
“Inilah antara bukti manfaat zakat yang tuan-tuan dan puan-puan keluarkan. Zakat bukan hanya menjadi umpan, malahan joran untuk dijadikan pancing untuk asnaf boleh hidup berdikari dan berjaya dengan sendirinya.”
Tambah Tan Sri Dato’ Seri Abdul Aziz bin Mohd Yusof, Lembaga Zakat Selangor dan Teraju Ekonomi Asnaf Sdn Bhd juga prihatin terhadap bekas-bekas usahawan asnaf yang telah keluar daripada golongan asnaf fakir miskin.
“Bagi memastikan tuan-tuan dan puan-puan yang telah berjaya keluar daripada golongan asnaf dapat terus dibimbing oleh agensi, maka hari ini pertemuan dengan wakil-wakil pembiayaan seperti bank-bank dan agensi dapat diaturkan kepada para usahawan. Garap peluang ini dengan sebaiknya. Diharapkan pertemuan yang diaturkan pada hari ini dapat menjadi titik tolak kepada perkembangan perniagaan kelak.”
Turut hadir dalam program ini Dato’ Ibrahim bin Md Yusof, Pengerusi Teraju Ekonomi Asnaf Sdn. Bhd. (TERAS), Dato’ Bakhtiar bin Hussin Ahli Lembaga Pengarah TERAS, Encik Mohd Hasnul Redza bin Abdul Rahim, Pengurus Besar TERAS, Ahmad Fatin Bin Mohamad Suhaimi, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor, Encik Nurhisham bin Shamsir Timbalan Ketua Divisyen Pembangunan Asnaf, Lembaga Zakat Selangor serta wakil-wakil agensi pembiayaan iaitu Bank Islam Malaysia Berhad, Bank Simpanan Nasional, Ambank Islamic, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Amanah Ikhtiar Malaysia.
Teraju Ekonomi Asnaf Sdn. Bhd atau lebih dikenali sebagai TERAS adalah merupakan salah sebuah anak syarikat di bawah Majlis Agama Islam Selangor dan dimiliki sepenuhnya oleh MAIS yang bertanggungjawab untuk membangun, mengurus dan mengawal pembangunan usahawan-usahawan asnaf di Negeri Selangor.