PEKAN, PAHANG | 20 Jun 2025 – Satu majlis serahan Surat Pelantikan Sebagai Rakan Strategik MUIP bagi mengurus dan mengoperasikan Bengkel Jahitan MUIP yang terletak di Pekan, Pahang telah diadakan di Pejabat Unit Pembangunan Asnaf (Bahagian Agihan Zakat). Ini adalah merupakan lembaran baharu bagi TERAS yang telah mula melebarkan sayap untuk membantu lebih banyak Majlis Agama Islam Negeri dan asnaf fakir dan miskin.
Surat lantikan tersebut telah diserahkan secara rasmi oleh Encik Md. Hashrul'din Bin Amdan, Ketua Unit Pembangunan Asnaf MUIP kepada En. Mohd. Hasnul Redza bin Abdul Rahim, Ketua Pegawai Eksekutif TERAS. Turut hadir dalam sesi tersebut adalah En. Amin Syazwan bin Mohamad Nazri, Pembantu Hal Ehwal Islam MUIP, Pn. Norliza Binti Abdul Manan, Pengurus Sektor Perkhidmatan Jahitan TERAS, Pn. Aini Afrida Binti Mansor, Pegawai Penyelia Bengkel Jahit MUIP dan Pn. Nor Fazilah Binti Hitam, pegawai TERAS.
Kerjasama strategik ini diharap dapat memperkukuh usaha dalam memperkasakan golongan asnaf melalui latihan kemahiran dan peningkatan ekonomi yang mampan. Ia selari dengan hasrat Ketua Pegawai Eksekutif MUIP, YH. Dato’ Haji Ahmad Hairi Bin Haji Hussain supaya ekosistem pembangunan asnaf ini bermula daripada penglibatan MUIP dan juga agensi dan anak syarikat di bawahnya dalam mewujudkan peluang kerjaya kepada usahawan asnaf supaya taraf ekonomi mereka dapat ditingkatkan. TERAS komited untuk menjalankan amanah yang diberikan sebaiknya dan berterusan menyokong inisiatif-inisiatif pembangunan sosial yang diterajui oleh MUIP ini demi kesejahteraan ummah.

