Petaling Jaya, 27 Oktober 2025 – Seramai 30 orang anak yatim di bawah seliaan Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) menerima sumbangan tajaan set lengkap pakaian sekolah sempena Majlis Peluncuran Gedung Fesyen Teraju Ekonomi Asnaf (TERAS) yang berlangsung dengan penuh meriah di sini.
Majlis pelancaran tersebut telah disempurnakan oleh Yang Berbahagia Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), YAD Senator Dato' Setia Haji Salehuddin Saidin sebagai simbolik pelancaran rasmi gedung fesyen yang dibangunkan khusus bagi memperkasa keusahawanan dan ekonomi asnaf di negeri Selangor.
Penyampaian sumbangan pakaian sekolah kepada anak-anak yatim merupakan salah satu batuan yang disediakan oleh Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) bagi menarik minat anak yatim menjalani sesi pembelajaran disamping meringankan tanggungan ibu selaku penjaga utama setelah kematian suami disamping memberi suntikan semangat untuk mereka terus berjaya dalam pelajaran.
Usaha sebegini bukan sahaja menyemai nilai kasih sayang dan tanggungjawab sosial dalam masyarakat, malah memperkukuh hubungan strategik antara agensi Islam di bawah MAIS dalam memperkasa pembangunan sosioekonomi ummah.
Dalam majlis tersebut juga, penyampaian cek cura berjumlah RM100,000 telah diserahkan oleh YBhg. Dato' Haji Bakhtiar bin Hussin, Pengerusi TERAS kepada YBrs. En. Nur Mohd Razali bin Abdullah, Pengurus Besar YIDE untuk tujuan pembangunan Kompleks Anak Yatim Pulau Indah yang kini sedang giat dibangunkan dan dijangka siap pada akhir Januari 2026 nanti.
YIDE sentiasa komited menjalankan amanah dalam membantu dan membela nasib anak-anak yatim di seluruh negeri Selangor melalui pelbagai inisiatif kebajikan, pendidikan dan pembangunan insan.

Comments are disabled.