SHAH ALAM – Teraju Ekonomi Asnaf Sdn. Bhd. (TERAS) merupakan anak syarikat Majlis Agama Islam Selangor telah mengadakan Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-10 Pengaktifan Semula Operasi TERAS pada 30 Mac 2021 di Hotel De Palma, Shah Alam. Majlis telah dirasmikan oleh YAD Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof selaku Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).

Majlis turut dihadiri oleh Setiausaha MAIS, Ahli Lembaga Pengarah (ALP), Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor (LZS), mantan ALP dan Pengurus Besar TERAS. Selain itu, TERAS juga menjemput beberapa wakil dari MAIS dan LZS serta warga kerja TERAS seramai 88 orang.

Pengerusi MAIS berkata, sepanjang tempoh 10 tahun pengoperasian TERAS ini, pelbagai kejayaan telah dihasilkan dan pelbagai usahawan asnaf telah dilahirkan. Seiring dengan Objektif penubuhan TERAS, kepimpinan dan pengurusan pada masa kini perlu lebih proaktif dalam mencapai tahap yang ditetapkan. TERAS sebagai induk dalam memacu ekonomi asnaf, perlu meneroka peluang-peluang yang dapat membangunkan asnaf.

Pencapaian TERAS pada masa lalu seharusnya menjadi panduan untuk mengharungi masa hadapan yang lebih mencabar dengan dunia tanpa sempadan dan kemajuan pesat dalam bidang teknologi maklumat dan sering kali berhadapan dengan isu-isu baharu yang kadangkala menguji tahap perkhidmatan dalam menyantuni asnaf.

Pada tahun 2020, MAIS telah melancarkan Pelan Strategik MAIS 2020 – 2024. Di dalam pelan ini TERAS turut terlibat bagi menjayakan amanah dan aspirasi yang termaktub di dalam salah satu teras utama yang menjadi tunjang kepada PSM 2020-2024 iaitu pemantapan sumber ekonomi islam. Antara strategi yang melibatkan penglibatan TERAS adalah peningkatan keuntungan syarikat setiap tahun sebanyak 10%, pemerkasaan usahawan muslim dalam Industri Halal dan Sistem Perkhidmatan Islam Bersepadu

Di samping itu, di bawah Pelan Rasionalisasi MAIS ke atas agensi dan anak syarikat juga telah menetapkan untuk mengekalkan fungsi TERAS, mengembangkan penghantaran kepada asnaf-asnaf zakat, meneruskan pembekalan pakaian sekolah, keterlibatan dalam Industri Halal dan pemasaran produk asnaf.

Pada majlis tersebut, Pengerusi MAIS telah melancarkan gimik sambutan 10 tahun TERAS bersama diiringi dengan Pengerusi TERAS, Y.Bhg Dato’ Hj. Ibrahim bin Md Yusof dan Pengurus Besar, En. Mohd Hasnul Redza bin Abdul Rahim. Beliau juga turut menyampaikan Anugerah Khas kepada seramai 17 orang kakitangan TERAS yang telah berkhidmat selama 10 tahun.

Pada sesi pagi, majlis telah mengadakan sesi ceramah yang disampaikan oleh Ketua Seketeriat Rasuah Busters iaitu Puan Norhayati Nordin dan disusuli oleh bacaan Ikrar Bebas Rasuah(IBR) oleh semua warga kerja TERAS. selepas itu, diadakan pula sesi pembentangan Pencapaian Prestasi bagi tahun 2020 dan Sasaran 2021 oleh setiap Pengurus Sektor dan diakhiri dengan ucapan dari Pengurus Besar TERAS.

Comments are disabled.