Petaling Jaya, 27 Oktober 2025 – Teraju Ekonomi Asnaf Sdn. Bhd. (TERAS), anak syarikat Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), hari ini melancarkan Gedung Fesyen & Produk Berjenama TERAS serta Kempen Jualan “Back to School” di Taman Sri Manja, Petaling Jaya.
Majlis perasmian disempurnakan oleh YAD Senator Dato’ Setia Haji Salehuddin bin Saidin, Pengerusi MAIS, bersama YBhg. Dato’ Bakhtiar bin Hussin, Pengerusi TERAS, dan En. Mohd. Hasnul Redza bin Abdul Rahim, Ketua Pegawai Eksekutif TERAS.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah YBhg. Dato’ Haji Ibrahim bin Md. Yusof, Pengerusi Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) dan En. Nur Mohd. Razali bin Abdullah, Pengurus Besar Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE).
Gedung Fesyen TERAS yang mula beroperasi pada September 2025 menampilkan pelbagai produk seperti pakaian seragam sekolah, pakaian harian, serta produk jahitan TERAS seperti baju kurung, telekung, kurta, t-shirt dan tudung. Selain itu, TERAS turut memperluaskan pengeluaran kepada produk makanan berjenama TERAS seperti beras super import dan minyak masak, yang kini mula menembusi pasaran tempatan. Sebagai kesinambungan kepada pelancaran ini, TERAS turut membuka sembilan (9) buah kedai TERAS di sembilan lokasi terpilih sekitar Selangor sempena Kempen “Back to School” yang berlangsung dari November 2025 hingga Januari 2026. Inisiatif ini bertujuan memperluas capaian produk TERAS kepada masyarakat serta memberi kemudahan kepada ibu bapa mendapatkan keperluan persekolahan pada harga berpatutan dan sebagai persediaan menyantuni anak-anak asnaf bagi sesi persekolahan tahun 2026.
Menurut Pengerusi MAIS, inisiatif ini mencerminkan komitmen TERAS dalam memperkasa ekonomi ummah dan membina ekosistem ekonomi Islam yang mampan dan inklusif. “MAIS akan terus menyokong usaha TERAS sebagai platform strategik yang membantu usahawan tempatan dan mengangkat martabat produk Muslim ke peringkat lebih tinggi,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi TERAS, Dato’ Bakhtiar bin Hussin, menyatakan bahawa kempen “Back to School” ini bukan sahaja menawarkan produk berkualiti pada harga berpatutan, tetapi turut memberi manfaat kepada masyarakat. Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) turut menaja 30 orang anak yatim di bawah seliaannya dengan jumlah tajaan sebanyak RM200 seorang bagi menerima kelengkapan persekolahan dalam program ini.
Majlis turut menyaksikan penyerahan dividen TERAS bagi tahun 2024 berjumlah RM121,718.40 kepada MAIS, sumbangan wakaf tunai RM100,000 kepada PWS, dan sumbangan RM100,000 kepada YIDE bagi pembinaan rumah anak yatim.
TERAS berhasrat untuk memperluaskan lagi rangkaian gedungnya di seluruh Selangor dalam tempoh beberapa tahun akan datang, seiring dengan Pelan Strategik TERAS 2025–2027, sebagai langkah menjadikan TERAS jenama Muslim pilihan utama masyarakat.

Comments are disabled.