KLANG, 9 MAC: Seramai 2,302 anak yatim daerah Klang menerima sumbangan Aidilfitri Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) berjumlah RM345,300, tahun ini.

Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor hari ini berkenan mencemar duli menyerahkan sumbangan secara bersemuka kepada sebahagian anak yatim daerah ini, melibatkan 660 penerima.

Tengku Amir Shah berkenan menyampaikan sumbangan berjumlah RM99,000 itu, sempena majlis serahan sumbangan Aidilfitri kepada anak yatim di Masjid Al-Islah, Kampung Sementa Klang di sini.

“Sumbangan ini bertujuan menyantuni serta meringankan beban anak-anak yatim sempena sambutan Aidilfitri yang bakal menjelang,” katanya dalam sembah ucapan sempena majlis berkenaan.

Pada majlis itu, Raja Muda turut berkenan menyaksikan penyerahan cek cura kepada Yide, berjumlah RM90,000 yang disumbangkan TERAJU Ekonomi Asnaf Sdn Bhd (TERAS) sebanyak RM50,000 dan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bernilai RM40,000.

Ia adalah manifestasi keprihatinan agensi-agensi MAIS, dalam memastikan kebajikan dan kesejahteraan anak yatim di negeri ini terus terbela, selari titah Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj mengenai kepentingan menjaga kebajikan golongan itu di Selangor.

Comments are disabled.