7 April 2025, Putra Heights - Prihatin terhadap nasib pelajar yang terkesan akibat insiden kebakaran dan letupan saluran gas baru-baru ini, satu inisiatif sumbangan Fasa 2 telah dilaksanakan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Camelia, Putra Heights hari ini.
Seramai 28 orang pelajar menerima sumbangan berupa dua set pakaian sekolah lengkap, kasut, alat tulis dan keperluan pembelajaran lain dalam usaha meringankan beban keluarga mangsa kebakaran.
Turut hadir dalam majlis penyerahan ini ialah Ketua Pegawai Eksekutif Teraju Ekonomi Asnaf Sdn. Bhd. (TERAS), En. Mohd Hasnul Redza bin Abd Rahim, yang menyempurnakan proses penyerahan sumbangan. Kehadiran beliau mencerminkan komitmen tinggi organisasi dalam menyantuni komuniti yang memerlukan, khususnya dalam situasi kecemasan dan bencana.
Inisiatif ini bukan sahaja memberi kelegaan dari segi kewangan, malah turut menyuntik semangat kepada pelajar untuk kembali ke sekolah dengan lebih yakin dan bersemangat.





