4 April 2025, Putra Heights - Susulan insiden kebocoran gas dan kebakaran yang menggemparkan komuniti Putra Heights baru-baru ini, DYMM Sultan Selangor telah berkenan menitahkan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) melalui Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) untuk menyalurkan bantuan kepada semua pelajar yang terjejas.
YIDE bekerjasama dengan melantik Teraju Ekonomi Asnaf Sdn. Bhd. (TERAS) selaku agensi anak syarikat MAIS untuk membekalkan pakaian seragam sekolah dan peralatan sekolah.
Bantuan ini disalurkan tanpa mengira latar belakang agama, sebagai lambang kasih sayang dan keprihatinan Baginda terhadap kesejahteraan rakyat. Para pelajar yang terlibat, termasuk pelajar beragama Islam dan bukan Islam, menerima sumbangan berupa dua pasang pakaian seragam sekolah, kasut, beg, alat tulis serta peralatan persekolahan yang lain.
Penyerahan Fasa 1 pada 4 April 2025 seramai 173 pelajar telah menerima kelengkapan pakaian sekolah di Masjid Putra Heights. Manakala penyerahan Fasa 2 diadakan pada 7 April 2025 di Dewan Camelia Putra Heights dengan penerima seramai 28 pelajar.
Langkah ini bukan sekadar bantuan material, tetapi juga suntikan semangat dan harapan buat anak-anak yang sedang melalui detik sukar. Ia mencerminkan semangat kebersamaan dan kemanusiaan yang sentiasa menjadi tunjang kekuatan negeri Selangor. Semoga sumbangan ini dapat meringankan beban keluarga mangsa serta menyemarakkan semula semangat mereka untuk meneruskan sesi pembelajaran dengan lebih tabah dan bersemangat.







