17 NOVEMBER 2026 | UiTM CAWANGAN PULAU PINANG, KAMPUS PERMATANG PAUH - Teraju Ekonomi Asnaf Sdn. Bhd. (TERAS), anak syarikat Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), telah menyertai Konvensyen Ekonomi Umat Islam Pulau Pinang 2026 (KEUIPP’26) yang berlangsung di Dewan Besar, UiTM Cawangan Pulau Pinang, Kampus Permatang Pauh.
Konvensyen tersebut telah dirasmikan oleh YBhg. Dato’ Dr. Mohamad bin Abdul Hamid, Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang merangkap Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP).
Penganjuran KEUIPP’26 mengetengahkan peranan zakat bukan sahaja sebagai instrumen ibadah, malah sebagai pemangkin pembangunan sosial dalam melindungi golongan yang memerlukan, memperkukuh kesejahteraan keluarga dan meningkatkan taraf kehidupan golongan asnaf.
Pelbagai pengisian telah diketengahkan menerusi perkongsian ilmu, forum, deklarasi serta Galeri Impak Agihan yang memfokuskan kepada lapan golongan asnaf, keberkesanan agihan zakat dan usaha mentransformasikan penerima bantuan ke arah kehidupan yang lebih berdikari. Perbincangan ini turut menyokong aspirasi Agenda Pembangunan Agama Islam Negeri Pulau Pinang 2030 (APAI2030) dan Penang2030, khususnya dalam aspek pemerkasaan ekonomi, kesejahteraan masyarakat dan peningkatan kualiti kehidupan.
Penyertaan TERAS dalam konvensyen ini adalah selari dengan komitmen TERAS untuk memperluas inisiatif pembangunan ekonomi yang inklusif, memperkasa keupayaan usahawan dan membantu golongan yang memerlukan mencapai kehidupan yang lebih berdikari.

