TERAS telah menganjurkan Sambutan Hari Integriti TERAS 2026 pada 6 November 2026 bertempat di Auditorium, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam. Program anjuran Bahagian Audit Dalam ini bertujuan memperkukuh budaya integriti, meningkatkan kesedaran pencegahan rasuah serta memantapkan tadbir urus organisasi.
Majlis telah dirasmikan oleh YBhg. Dato’ Bakhtiar bin Hussin, Pengerusi TERAS yang turut menyempurnakan pelancaran empat (4) Polisi Integriti TERAS iaitu Polisi Anti-Rasuah, Polisi Konflik Kepentingan, Polisi Penerimaan dan Pemberian Hadiah serta Polisi Perlindungan Pemberi Maklumat.
Sebagai simbol komitmen organisasi, Ketua Pegawai Eksekutif TERAS iaitu YBrs En. Mohd Hasnul Redza bin Abd Rahim mengetuai lafaz Ikrar Integriti Korporat bersama warga kerja bagi menyahut penyertaan TERAS ke arah pensijilan Sistem Integriti Korporat Malaysia (CISM).
Program turut menampilkan ceramah bertajuk “Tumbuk Rusuk” oleh En. Mohd Firdaus bin Ramlan, Pengerusi CJM Global. Selain itu, Tuan Lee Cheng Teik, Penguasa Kanan SPRM telah menyampaikan penerangan berkaitan Seksyen 17A Akta SPRM 2009, manakala En. Syahrul Neezam, Ketua Bahagian Audit Dalam menyampaikan penerangan mengenai empat (4) Polisi Integriti TERAS.
Penganjuran program ini diharapkan dapat meningkatkan kesedaran dan komitmen seluruh warga kerja untuk mengamalkan nilai integriti, menolak rasuah serta menjadikan amanah dan akauntabiliti sebagai budaya kerja.
INTEGRITI KITA, NILAI KITA. Bersama membina organisasi yang telus, berakauntabiliti dan bebas rasuah.
KERANA INTEGRITI BERMULA DARIPADA DIRI KITA.

