913795931 1098045639903827 2281829011444444365 n

SHAH ALAM, 19 NOVEMBER 2026 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) dengan kerjasama Teraju Ekonomi Asnaf Sdn. Bhd. (TERAS), anak syarikat Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), menganjurkan Program Transformasi Usahawan Asnaf Selangor (TUAS) 2026 di Dewan Orkid, Wisma PKPS, Shah Alam, dari jam 8.00 pagi hingga 1.00 petang. Program ini menghimpunkan hampir 150 orang usahawan asnaf bersama agensi pembiayaan perniagaan dan usahawan berjaya bagi membuka ruang perkongsian pengalaman serta pendedahan kepada peluang pengembangan perniagaan.
TUAS 2026 telah dirasmikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif LZS, YBhg. Tuan Haji Mohd Khaidzir bin Shahari. Dalam ucapan perasmiannya, beliau menekankan kepentingan pendekatan pembangunan yang menyeluruh dan berterusan melalui latihan, bimbingan, pemantauan serta bantuan modal bagi membantu golongan asnaf meningkatkan taraf kehidupan dan membina kemandirian ekonomi. Komitmen ini merupakan sebahagian daripada usaha LZS dalam menyantuni lebih 80,000 keluarga asnaf berdaftar di Selangor.
PEMBANGUNAN USAHAWAN ASNAF CATAT PENCAPAIAN POSITIF
Program Pembangunan Usahawan Asnaf LZS dengan kerjasama TERAS memberi manfaat kepada lebih 2,000 usahawan setiap tahun menerusi pelbagai latihan dan kursus keusahawanan. Sepanjang tahun 2025 hingga kini, sebanyak 4,465 sesi pemantauan dan bimbingan serta 125 kursus teknikal dan bukan teknikal telah dilaksanakan. Selain itu, sebanyak 578 permohonan bantuan modal perniagaan bernilai hampir RM6.2 juta telah diluluskan dan disalurkan. Keberkesanan usaha ini turut ditunjukkan melalui peningkatan peratusan usahawan asnaf yang mencatatkan peningkatan pendapatan, daripada 64 peratus pada tahun 2025 kepada 70 peratus pada tahun 2026.
PENGIKTIRAFAN DAN PELUANG JARINGAN PERNIAGAAN
Antara pengisian utama TUAS 2026 ialah penyampaian Anugerah Ikon Usahawan Asnaf kepada 10 orang usahawan terpilih sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian mereka dalam bidang perniagaan. Penerima Anugerah Usahawan Unggul menerima wang tunai RM3,000, plak penghargaan dan sijil, manakala penerima anugerah kategori lain masing-masing menerima RM2,000, plak penghargaan dan sijil.Turut diadakan ialah pameran produk dan perkhidmatan usahawan serta reruai agensi, sesi perkongsian pengalaman bersama usahawan berjaya dan sesi jaringan bersama agensi pembiayaan serta pembimbing keusahawanan.
Program turut menampilkan pelancaran Kolaborasi Asnaf Berdaya Saing (KOLAB), iaitu tiga projek rintis dalam sektor perkhidmatan serta pengeluaran makanan dan minuman, dengan sasaran penyertaan 30 asnaf fakir dan miskin dari sembilan daerah di Selangor. Program turut diserikan dengan taklimat oleh LZS dan perkongsian mengenai Halal Cottage oleh Bahagian Pengurusan Halal, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).
DARIPADA MUSTAHIQ KEPADA MUZAKKI
LZS dan TERAS akan terus memperkukuh kerjasama dalam melaksanakan inisiatif yang menyokong peningkatan taraf ekonomi golongan asnaf, selaras dengan falsafah LZS, iaitu “Dari Mustahiq (Penerima) kepada Muzakki (Pengeluar Zakat)” dan misi TERAS sebagai “Pemangkin Mustahiq kepada Muzakki”. Melalui usaha ini, usahawan asnaf bukan sahaja berpeluang membina perniagaan yang lebih kukuh, malah diharapkan mampu mencapai tahap ekonomi yang membolehkan mereka menjadi penyumbang kepada masyarakat.
914693776 1098045703237154 5583806710991518394 n 768x1024
911315416 1098045836570474 6038852333563081443 n 590x1024
916666702 1098062203235504 5525506834214996725 n 768x1024
916365146 1098045749903816 2842976978681456267 n 768x1024
915143378 1098045809903810 8915075624454788117 n 768x1024
916443347 1098045916570466 8851918222990712655 n 768x1024
913360273 1098045966570461 2025857216997360522 n 768x1024

Comments are disabled.