PETALING JAYA, 11 NOVEMBER 2026 – Teraju Ekonomi Asnaf Sdn. Bhd. (TERAS) telah mengadakan pertemuan bersama Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) bagi meneroka potensi kerjasama dalam pelaksanaan pelbagai inisiatif pembangunan komuniti, kebajikan masyarakat dan pemerkasaan ekonomi usahawan.
Delegasi TERAS diketuai oleh Puan Fasihah binti Mat Radzi, Pengurus Besar Operasi bersama tiga orang pegawai. Pihak MBPJ pula diwakili oleh Tuan Ku Mustafa bin Ku Mohamad, Timbalan Pengarah, Jabatan Pembangunan Masyarakat, Bahagian Pembangunan Sukan dan Kemudahan Am, serta wakil daripada jabatan berkaitan.
Antara perkara yang dibincangkan ialah cadangan pelaksanaan Program Jualan Rahmah Back to School bagi membantu meringankan beban perbelanjaan ibu bapa dan warga MBPJ dalam membuat persediaan persekolahan anak-anak. Turut diketengahkan ialah potensi pembekalan Kotak Makanan sebagai inisiatif kebajikan untuk membantu golongan yang memerlukan.
Selain itu, kedua-dua pihak turut bertukar pandangan mengenai peluang penganjuran kursus keusahawanan dan kemahiran jahitan bagi meningkatkan pengetahuan, kemahiran serta potensi penjanaan pendapatan dalam kalangan masyarakat setempat. Beberapa cadangan inisiatif lain yang bersesuaian turut dibincangkan bagi memperluas skop manfaat kepada kumpulan sasar.
Pertemuan ini menjadi platform awal dalam mengenal pasti ruang kerjasama yang berpotensi untuk dilaksanakan secara bersama, sekali gus membuka peluang kepada penyampaian program yang lebih menyeluruh dan memberi impak positif kepada masyarakat.
TERAS komited untuk terus memperluas jaringan kerjasama bersama agensi kerajaan dan pelbagai pihak berkepentingan dalam usaha membangunkan usahawan, memperkasa ekonomi komuniti serta meningkatkan kesejahteraan masyarakat.

