903070165 1090156084026116 8341252111783894504 n

 
SHAH ALAM | 11 NOVEMBER 2026 – Teraju Ekonomi Asnaf Sdn. Bhd. (TERAS) telah menyertai Konvensyen Baitulmal Nusantara 2026 yang berlangsung pada 10 hingga 12 November 2026 di Hotel Concorde, Shah Alam.
Bertemakan “Memperkasa Amanah, Membangun Kekayaan, Memakmur Ummah”, konvensyen ini menjadi platform pertemuan pelbagai pihak berkepentingan dalam institusi baitulmal bagi bertukar pandangan, berkongsi pengalaman serta memperkukuh jaringan kerjasama dalam pembangunan ekonomi ummah.
Sepanjang konvensyen berlangsung, TERAS turut mengambil peluang memperkenalkan produk dan perkhidmatan syarikat melalui reruai pameran yang disediakan. Reruai tersebut menjadi ruang untuk mempromosikan produk keluaran TERAS serta mengetengahkan potensi pembekalan kepada agensi, peserta dan rakan strategik.
Reruai pameran TERAS turut menerima kunjungan Duli Yang Teramat Mulia Tengku Amir Shah, Raja Muda Selangor, yang berkenan meluangkan masa meninjau dan melihat sendiri produk-produk keluaran TERAS. Turut hadir ialah YAD Senator Dato’ Setia Haji Salehuddin bin Saidin, Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan YBhg. Dato’ Haji Bakhtiar bin Hussin, Pengerusi TERAS.
Antara produk yang diketengahkan termasuklah beras, minyak masak, bihun, makanan sedia dimakan (RTE) serta pelbagai produk keperluan harian berjenama TERAS. Penyertaan ini merupakan salah satu usaha memperluas pengenalan jenama dan meneroka potensi pasaran serta peluang pembekalan yang lebih luas.
Selain penglibatan dalam pameran, TERAS turut diberi penghormatan untuk menyampaikan perkongsian ilmu menerusi Sesi 4: Memakmur Ummah yang bertemakan “Pengagihan Kekayaan & Pemerkasaan Ekonomi Ummah”.
Ketua Pegawai Eksekutif TERAS, En. Mohd. Hasnul Redza bin Abdul Rahim telah menyampaikan pembentangan bertajuk “Dana Wakalah Zakat: Pemangkin Pemerkasaan & Kemandirian Ekonomi Asnaf” yang mengupas peranan Dana Wakalah Zakat sebagai instrumen strategik dalam memperkasa ekonomi asnaf melalui pengagihan dana yang berkesan, pembangunan keusahawanan dan pembinaan kemandirian ekonomi.
Perkongsian tersebut turut mengetengahkan pengalaman serta pendekatan TERAS dalam melaksanakan inisiatif pembangunan ekonomi asnaf, sekali gus menyumbang kepada perkongsian pengetahuan dan amalan terbaik dalam usaha memperkukuh ekonomi ummah.
Penglibatan TERAS dalam konvensyen ini diharap dapat meningkatkan keterlihatan jenama syarikat, memperluas peluang pasaran dan jaringan kerjasama strategik, di samping memperkukuh peranan TERAS sebagai entiti yang komited terhadap pembangunan ekonomi dan pemerkasaan usahawan asnaf.
TERAS – Memperkasa Ekonomi Asnaf, Membina Masa Depan Ummah.
903202812 1090156437359414 3450370786449852297 n 768x1024
903535210 1090156637359394 6759517444228853689 n 768x1024
904275492 1090156030692788 4680565357723041730 n 768x1024
903237294 1090156207359437 8853530019538658746 n 768x1024
901729427 1090156170692774 6025024347311257809 n 1024x768
902391457 1090156577359400 3865863303425262824 n 768x1024

Comments are disabled.