KLANG, 16 NOVEMBER 2026 – Teraju Ekonomi Asnaf Sdn. Bhd. (TERAS), sebuah anak syarikat Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), telah menerima kunjungan hormat daripada Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) di ibu pejabat TERAS hari ini bagi memperluas jaringan strategik serta meneroka peluang kerjasama antara kedua-dua institusi.
Delegasi MAINS diketuai oleh Encik Mahadi bin Ali, Pengarah Jabatan Zakat MAINS, bersama Encik Mohd. Hasni bin Zulkefli, Ketua Penolong Pengarah (KPP) Bahagian Agihan, Encik Ali Mazli bin Mauludin, KPP Bahagian Kutipan serta beberapa pegawai pengiring. Ketibaan delegasi MAINS telah disambut mesra oleh Ketua Pegawai Eksekutif TERAS, Encik Mohd. Hasnul Redza bin Abd. Rahim, bersama Pengurus Besar Operasi, Puan Fasihah binti Mat Radzi serta empat orang pegawai TERAS.
Pertemuan ini menjadi platform perkongsian maklumat dan pertukaran pandangan berhubung peranan, fungsi serta bidang operasi kedua-dua organisasi. Perbincangan turut memberi tumpuan kepada penerokaan peluang kerjasama dalam bidang pembangunan ekonomi dan keusahawanan, khususnya menerusi inisiatif yang berpotensi memberikan nilai tambah kepada organisasi serta manfaat kepada komuniti sasaran.
TERAS juga telah membawa delegasi MAINS melawat 2 orang usahawan asnaf iaitu Encik Ab Rasyid bin Che Ahmad di Kg Sri Aman Puchong yang berniaga nasi kerabu berlauk dan char kuew teow serta puan Nor Azura Binti Kamarudin di Shaftsbury Putrajaya yang berniaga perkhidmatan jahitan dan tempahan langsir.
TERAS merakamkan penghargaan kepada pihak MAINS atas kesudian mengadakan kunjungan hormat serta berkongsi pandangan dan pengalaman sepanjang sesi pertemuan tersebut. Diharapkan pertemuan ini dapat membuka ruang kepada jalinan kerjasama yang lebih erat antara MAINS dan TERAS dalam inisiatif pembangunan ekonomi yang memberi manfaat bersama pada masa hadapan.

