SHAH ALAM, Selangor | 26-27 September 2026 – Teraju Ekonomi Asnaf Sdn. Bhd. (TERAS) telah melaksanakan Kursus Urutan Sukan kepada 10 peserta Asnaf Lembaga Zakat Selangor bertempat di De Palma Hotel, Shah Alam sebagai salah satu usaha memperkasakan kemahiran dan meningkatkan potensi peserta dalam bidang perkhidmatan urutan.
Kursus ini bertujuan memberikan pendedahan kepada peserta mengenai asas urutan sukan, teknik urutan yang betul serta kaedah pengendalian pelanggan secara selamat dan profesional. Peserta turut didedahkan kepada pengetahuan berkaitan penjagaan otot, kecederaan ringan serta teknik urutan yang sesuai bagi membantu proses pemulihan selepas aktiviti fizikal.
Selain aspek teori, peserta berpeluang menjalani latihan praktikal secara langsung bagi meningkatkan kemahiran, keyakinan dan kecekapan dalam melakukan teknik urutan sukan. Pendekatan secara amali ini membolehkan peserta memahami dengan lebih jelas teknik yang dipelajari serta mengaplikasikannya dalam situasi sebenar.
Kursus ini juga diharapkan dapat membuka peluang kepada peserta untuk menjadikan kemahiran urutan sukan sebagai sumber pendapatan melalui perkhidmatan secara persendirian, perniagaan atau peluang kerjaya dalam bidang berkaitan.
Melalui pelaksanaan kursus seperti ini, TERAS terus komited dalam menyediakan latihan berasaskan kemahiran kepada peserta Asnaf bagi membantu meningkatkan keupayaan, membina keyakinan diri serta memperkukuh potensi mereka ke arah kehidupan yang lebih berdikari dan berdaya saing.

