834557653 1053798184328573 5734023227620777498 n

KUANTAN, 5 Oktober 2026 – Teraju Ekonomi Asnaf Sdn. Bhd. (TERAS) telah mengadakan pertemuan strategik bersama Yayasan Pahang (YP) bagi meneroka ruang kerjasama dalam pembangunan usahawan, pemerkasaan ekonomi serta pelaksanaan program berimpak tinggi dan mampan.
Pertemuan bersama YBhg. Dato’ Indera Mahmud bin Mohd Nawawi, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pahang serta barisan pengurusan YP dimulakan dengan pembentangan mengenai latar belakang, struktur korporat dan inisiatif Yayasan Pahang. Turut dikongsikan ialah perkembangan projek semasa melibatkan sektor pertanian dan perladangan, pembangunan pendidikan serta inisiatif jalinan kerjaya dan penempatan pekerjaan.
TERAS yang diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif, En. Mohd Hasnul Redza bin Abd Rahim turut berkongsi mengenai komponen utama operasi TERAS serta pendekatan pembangunan usahawan yang menekankan bimbingan secara menyeluruh. Antara kekuatan pendekatan TERAS ialah penglibatan pegawai lapangan yang berperanan mengenal pasti peserta, menyelaras pelaksanaan program serta melaksanakan pemantauan, bimbingan, motivasi dan pembelajaran berterusan bagi memastikan kelangsungan serta keberkesanan sesuatu projek.
Perbincangan dua hala turut memberi tumpuan kepada beberapa potensi kerjasama termasuk pembangunan dan pemantauan projek keusahawanan, peningkatan nilai komersial produk akuakultur seperti tilapia sejuk beku, kursus kemahiran serta penerokaan kerjasama dalam sektor pertanian termasuk tanaman nanas dan kelapa.
Pertemuan ini menjadi langkah awal ke arah pembentukan sinergi strategik antara TERAS dan Yayasan Pahang dalam mengoptimumkan kepakaran, fasiliti, jaringan serta sumber kedua-dua organisasi bagi membuka lebih banyak peluang ekonomi dan memperkukuh pembangunan usahawan secara mampan.
TERAS komited untuk terus memperluaskan jaringan kerjasama strategik demi membina usahawan yang lebih berdaya saing, berkemahiran dan mampu berkembang ke tahap yang lebih tinggi.
835748922 1053798070995251 4581717812138313607 n 1024x768
839158244 1053798147661910 3324308760842351256 n 1024x768
836262057 1053797970995261 378204233416603121 n 768x1024

Comments are disabled.