808193240 1034475436260848 4196827041389875096 n

PUTRAJAYA, 14 SEPTEMBER 2026 – Teraju Ekonomi Asnaf Sdn. Bhd. (TERAS) meneruskan usaha memperluas jaringan strategik menerusi satu sesi pertemuan bersama Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) di Putrajaya bagi meneroka potensi kerjasama yang boleh memberi nilai tambah kepada kedua-dua pihak.
Pertemuan tersebut diketuai oleh Ketua Pengarah RELA, Datuk Rosli bin Yaakub, bersama Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan), Tn. Mahather bin Smoh, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), Tn. Syamsul Badrin bin Mohsin, pengarah-pengarah bahagian serta pegawai RELA yang berkaitan.
Delegasi TERAS pula diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Tn. Mohd Hasnul Redza bin Abd Rahim, bersama Pengurus Tugas-Tugas Khas, En. Azman Shah bin Ramly serta tiga orang pegawai pengiring.
Kedua-dua pihak telah membincangkan potensi kerjasama dalam aspek pembekalan pakaian seragam kepada anggota RELA, di samping membuka ruang kepada TERAS untuk menawarkan kursus jahitan dan keusahawanan kepada anggota RELA serta pasangan mereka.
Kerjasama ini bukan sahaja mengetengahkan keupayaan TERAS dalam perkhidmatan jahitan dan pembekalan pakaian, malah berpotensi menjadi platform pembangunan kemahiran serta penjanaan pendapatan melalui bidang keusahawanan.
Selain itu, perbincangan turut merangkumi cadangan penganjuran Program Jualan RAHMAH MADANI (PJRM) di Negeri Perak bersempena program Kampung Angkat Madani (KAM) yang melibatkan pihak RELA yang akan dianjurkan kelak. Inisiatif ini berpotensi memperluaskan akses komuniti setempat kepada barangan keperluan pada harga berpatutan, sekali gus mengukuhkan lagi kerjasama strategik antara TERAS dan RELA dalam pelaksanaan program berimpak kepada masyarakat.
Pertemuan ini menjadi langkah awal yang positif dalam membina hubungan strategik antara TERAS dan RELA, khususnya dalam bidang pembekalan, perkhidmatan jahitan, program jualan komuniti serta pembangunan kemahiran. TERAS komited untuk meneruskan perbincangan dan tindakan susulan bagi menterjemahkan potensi yang dikenal pasti kepada bentuk kerjasama yang memberi manfaat kepada kedua-dua organisasi serta masyarakat.
TERAS | MEMBINA JARINGAN, MEMPERLUAS PELUANG, MEMPERKASA EKONOMI
800422334 1034475059594219 2735714554379392710 n 1024x768
808137068 1034475402927518 14957357922663889 n 1024x768
808265957 1034475366260855 9160740087930929582 n 1024x768

Comments are disabled.