KLANG, Selangor | 12-13 September 2026 – Teraju Ekonomi Asnaf Sdn. Bhd. (TERAS) telah melaksanakan Kursus Profil dan Pitching Perniagaan kepada Usahawan Asnaf Lembaga Zakat Selangor (LZS) kepada seramai 10 usahawan asnaf bertempat di Bilik Latihan TERAS, Klang Sentral sebagai salah satu inisiatif dalam memperkasa potensi diri serta meningkatkan keupayaan usahawan asnaf dalam menghadapi cabaran kehidupan dan dunia keusahawanan.
Kursus ini bertujuan meningkatkan keupayaan usahawan Asnaf dalam membangunkan profil syarikat yang profesional serta memperkukuh kemahiran menyampaikan maklumat dan kelebihan perniagaan dengan lebih yakin, tersusun dan berkesan.
Peserta didedahkan kepada kaedah menghasilkan profil syarikat yang mampu menonjolkan identiti, produk atau perkhidmatan, kekuatan serta potensi perniagaan, di samping mempelajari teknik pitching yang menarik dan meyakinkan kepada pelanggan, agensi, rakan strategik serta bakal pelabur.
Melalui kursus ini, peserta diharapkan dapat meningkatkan keyakinan diri, kemahiran komunikasi dan keupayaan mempromosikan perniagaan secara profesional, sekali gus membuka peluang kepada pengembangan dan peningkatan daya saing perniagaan.

