JOHOR, 7 OKTOBER 2026 – Teraju Ekonomi Asnaf Sdn. Bhd. (TERAS) telah mengadakan kunjungan hormat ke Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Johor sebagai usaha memperluas jaringan strategik serta meneroka potensi kerjasama antara kedua-dua pihak.
Delegasi TERAS diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif TERAS, Encik Mohd Hasnul Redza bin Abd Rahim, bersama beberapa pegawai pengiring. Kehadiran delegasi TERAS telah disambut oleh Puan Sharon Cristina, Ketua Seksyen Pembangunan Perdagangan Dalam Negeri, KPDN Johor bersama pegawai-pegawai KPDN Johor yang terlibat.
Pertemuan ini menjadi platform bagi kedua-dua pihak untuk bertukar pandangan dan berkongsi maklumat berkaitan peranan serta bidang operasi masing-masing. Sesi perbincangan turut membuka ruang untuk mengenal pasti potensi kerjasama yang boleh dibangunkan secara strategik, khususnya melalui inisiatif yang mampu memberikan manfaat bersama kepada organisasi dan komuniti sasaran.
TERAS merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada KPDN Johor, khususnya Puan Sharon Cristina dan barisan pegawai, atas kesudian menerima kunjungan serta perkongsian pandangan sepanjang sesi pertemuan ini.
Semoga kunjungan ini menjadi titik permulaan kepada jalinan kerjasama yang lebih erat dan berimpak, seterusnya membuka peluang kepada pelaksanaan inisiatif strategik yang memberi nilai tambah serta manfaat kepada kedua-dua pihak pada masa hadapan.

