3 September 2026 | Khamis - Teraju Ekonomi Asnaf Sdn. Bhd. (TERAS) telah menerima kunjungan delegasi daripada Akademi Transformasi Asnaf MAIPs Sdn. Bhd. (ATAM) menerusi Program Lawatan Penanda Aras ATAM ke TERAS yang berlangsung pada Khamis, 3 September 2026.
Program ini melibatkan seramai 43 orang usahawan asnaf bersama barisan pegawai ATAM yang diketuai oleh Puan Noor Aznira binti Mohamad Azmi, Pengurus Pembangunan Keusahawanan dan Perniagaan. Turut serta ialah Encik Mohd Hazim bin Zakaria dan Encik Muhammad Adli bin Abdullah, masing-masing selaku Eksekutif Pembangunan Keusahawanan dan Perniagaan ATAM.
Pihak TERAS pula diwakili oleh Encik Muhammad Muaz Hariri bin Mohamed Subadri bersama tujuh orang wakil TERAS yang mengiringi delegasi sepanjang pelaksanaan program.
Lawatan penanda aras ini memberi peluang kepada delegasi ATAM dan para usahawan asnaf untuk melihat secara lebih dekat perkembangan serta pengoperasian perniagaan usahawan dan bekas usahawan asnaf di Selangor, khususnya di sekitar Subang Perdana, Shah Alam, Jeram, Tanjong Karang dan Sekinchan.
Sepanjang program, delegasi dibawa melawat beberapa perniagaan dalam bidang makanan dan minuman, bakeri, makanan sejuk beku serta pengeluaran produk makanan. Delegasi turut berpeluang mengadakan lawatan ke tapak TERAS Akuakultur dan Bengkel Jahit TERAS di Tanjong Karang bagi mendapatkan pendedahan mengenai inisiatif pembangunan ekonomi yang dilaksanakan oleh TERAS dalam pelbagai sektor.
Program ini bukan sahaja menjadi platform perkongsian pengalaman, malah memberi pendedahan kepada peserta mengenai perjalanan pembangunan sesebuah perniagaan, kepentingan meningkatkan kualiti produk, pengurusan operasi, pengembangan pasaran serta kesediaan usahawan untuk terus menambah baik perniagaan secara berterusan.
Lawatan secara langsung ke lokasi perniagaan turut membolehkan para peserta melihat sendiri pengalaman dan perkembangan usahawan yang telah melalui proses pembangunan perniagaan, sekali gus menjadi sumber inspirasi kepada usahawan asnaf ATAM untuk terus memperkukuh daya saing dan meningkatkan potensi perniagaan masing-masing.
TERAS menyambut baik pelaksanaan program seumpama ini sebagai salah satu medium perkongsian pengetahuan dan pengalaman antara organisasi yang mempunyai aspirasi sama dalam memperkasakan pembangunan usahawan asnaf.
Diharapkan hubungan strategik antara TERAS dan Akademi Transformasi Asnaf MAIPs Sdn. Bhd. dapat terus diperkukuh melalui lebih banyak bentuk kerjasama pada masa hadapan, khususnya dalam usaha membangunkan usahawan asnaf yang lebih berdaya tahan, kompetitif dan berpotensi meningkatkan taraf sosioekonomi mereka melalui bidang keusahawanan.

