13 Ogos 2024, Hulu Selangor – Teraju Ekonomi Asnaf (TERAS) telah mengadakan lawatan turun padang ke daerah Hulu Selangor untuk meninjau perkembangan perniagaan para usahawan asnaf yang menerima bantuan modal dan latihan kursus. Delegasi TERAS seramai lapan orang ini diketuai oleh YBhg. Dato' Aspalela binti Ramly, Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Bantuan Modal, bersama-sama dengan Encik Hasnul Redza bin Abdul Rahim, Pengurus Besar TERAS, dan wakil daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS).
Lawatan ini bertujuan melihat sendiri pencapaian dan cabaran yang dihadapi oleh usahawan asnaf dalam mengembangkan perniagaan mereka. Antara usahawan yang dikunjungi ialah Puan Che Rohana Binti Che Amat, yang menjalankan perniagaan warung makanan di Lot 1492, Warung Dataran Memali, Sungai Choh. Beliau memajukan perniagaan sarapan pagi dengan bantuan yang diterima, dan perniagaannya kini semakin dikenali di kalangan penduduk setempat.
Delegasi juga melawat Encik Mohd Azlan Bin Mohd Ishak, seorang usahawan penternakan kambing di Kampung Sungai Buaya, yang menunjukkan kemajuan yang memberangsangkan dalam bidang penternakan. Seterusnya, Encik Barzani Bin Borhan yang membuka gerai makanan di hadapan Sekolah Kebangsaan Antara Gapi, turut mendapat perhatian delegasi atas usaha gigih beliau.
Kunjungan diteruskan ke perniagaan makanan tengahari yang diusahakan oleh Encik Johari Bin Said di Batang Kali, sebelum delegasi menuju ke Bukit Sentosa untuk bertemu dengan "wanita besi," Puan Fatimah Binti Ahmad, yang gigih mengusahakan perniagaan bateri kenderaan. Lawatan ini diakhiri dengan kunjungan ke perniagaan minuman kopi milik Encik Zadil Nor Mansyudi di Bukit Sentosa.
Lawatan ini diharapkan dapat memberi suntikan motivasi dan inspirasi kepada para usahawan asnaf untuk terus maju dalam perniagaan mereka. Delegasi TERAS menyatakan komitmen mereka untuk terus menyokong dan membimbing para usahawan asnaf demi meningkatkan taraf hidup golongan ini.