KLANG, 7 Januari – Program i-Tekad Wakaf Selangor Muamalat (Projek Lokcing) telah dilancarkan dengan meriah hari ini di Ibu Pejabat Teraju Ekonomi Asnaf Sdn Bhd (TERAS), Klang Sentral. Program yang menjadi inisiatif kolaborasi strategik antara Wakaf Selangor Muamalat dan TERAS ini bertujuan membimbing dan memperkasakan usahawan asnaf melalui latihan dan bantuan perniagaan.
Sebelah pagi, seramai 10 peserta program menghadiri Kursus Pengendalian Projek Lokcing, meliputi sesi teori dan praktikal sebagai persiapan menjalankan perniagaan secara sistematik.
Majlis perasmian pada sebelah petang disempurnakan oleh Pengerusi Teraju Ekonomi Asnaf Sdn Bhd (TERAS), YBhg Dato’ Hj. Bakhtiar bin Hussin. Simbolik acara perasmian termasuk penyerahan mock cheque peruntukan dana program i-Tekad Wakaf Selangor Muamalat serta penyampaian sijil kursus kepada peserta yang terlibat.
Turut hadir dalam majlis ini Pengerusi Wakaf Selangor Muamalat, Tuan Hj Azizi bin Che Seman, Ahli Jawatankuasa Wakaf Selangor Muamalat, Dr Mohd Izuwan bin Mahyudin, Ahli Lembaga Pengarah TERAS, Dato' Aspalela binti Ramly, Ketua Jabatan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Berhad, Tuan Hj Zaharuddin bin Alias, Pengurus Bahagian Korporat Perbadanan Wakaf Selangor, Encik Muhammad Hafiz bin Bahari, Pengurus Besar TERAS, Encik Hasnul Redza bin Abd Rahim, Pengurus Sektor Pembangunan Perniagaan TERAS, Puan Fasihah binti Mat Radzi.
Selain itu, satu Kursus Forensik Perniagaan turut dijalankan pada sebelah petang untuk memperkukuhkan ilmu keusahawanan peserta dalam menganalisis perniagaan.
Program i-Tekad Wakaf Selangor Muamalat ini diharap dapat memberi impak besar kepada peserta, bukan sahaja dari aspek peningkatan kemahiran tetapi juga sebagai platform untuk mereka berdikari dan memperkukuh ekonomi diri serta komuniti.

Comments are disabled.