Pekan, Pahang | 1 Jun 2025 – Teraju Ekonomi Asnaf Sdn. Bhd. (TERAS) secara rasmi telah dilantik sebagai rakan strategik Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) bagi mengurus dan mengoperasikan Bengkel Jahitan MUIP yang terletak di Pekan, Pahang.
Pelantikan ini menandakan permulaan kepada satu kerjasama strategik yang bertujuan untuk memperkasakan golongan asnaf, khususnya di negeri Pahang. Menerusi mandat ini, TERAS bertanggungjawab untuk:
Mengurus serta mengoperasikan bengkel jahitan sedia ada milik MUIP
Mengenal pasti potensi dan bakat dalam kalangan asnaf tempatan
Menyediakan latihan kemahiran jahitan secara berstruktur dan berfokus
Membuka peluang penjanaan pendapatan menerusi penghasilan produk dan tempahan pelanggan
Fokus utama TERAS adalah untuk memastikan para peserta bukan sahaja memperoleh ilmu dan kemahiran, malah turut dibimbing ke arah berdikari dan menjana pendapatan yang mampan. Pendekatan ini selari dengan misi TERAS dalam memartabatkan ekonomi asnaf melalui pembinaan modal insan dan pengembangan peluang keusahawanan.
Bengkel Jahitan MUIP kini berperanan sebagai pusat latihan serta pengeluaran produk tekstil seperti pakaian seragam, pakaian tradisional, dan tempahan khas. Setiap hasil kerja mencerminkan dedikasi dan harapan baharu dalam meningkatkan taraf hidup peserta program.
Bagi menandakan pelancaran rasmi, satu lawatan pengurusan tertinggi TERAS telah diadakan pada 3 Jun 2025. Delegasi diketuai oleh Tuan Haji Mohamad Mohar bin Ibrahim, Ahli Lembaga Pengarah TERAS, bersama Encik Mohd Hasnul Redza bin Abd Rahim, Ketua Pegawai Eksekutif, Puan Fasihah binti Mat Radzi, Pengurus Sektor Pembangunan Perniagaan, serta dua orang pegawai TERAS. Lawatan ini bertujuan untuk meninjau operasi awal bengkel, menilai keperluan sumber tenaga kerja serta merangka pelan penambahbaikan jangka panjang.
TERAS amat menghargai kepercayaan yang diberikan oleh pihak MUIP dan komited untuk terus memainkan peranan aktif dalam pembangunan ekonomi asnaf secara inklusif, lestari dan berimpak tinggi.
Maklumat Projek:
📍 Lokasi: Bengkel Jahitan MUIP Pekan,
Pahang Darul Makmur