837039974 1054069434301448 6640558888040837772 n

KUANTAN, PAHANG | 5 OKTOBER 2026 - Teraju Ekonomi Asnaf Sdn. Bhd. (TERAS) meneruskan usaha memperluas jaringan kerjasama strategik menerusi pertemuan bersama Persatuan Kebajikan, Pengurusan dan Pendidikan Akademi Yayasan Al-Sultan Abdullah, Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (YASA-MUIP).

Delegasi YASA-MUIP diketuai oleh Puan Dura Wahida binti Mohd Nordin, Pengurus Akademi YASA-MUIP, manakala pihak TERAS diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Encik Mohd Hasnul Redza bin Abd Rahim.
Pertemuan ini memberi tumpuan kepada penerokaan kerjasama dalam memenuhi keperluan pelajar, khususnya melalui pembekalan pakaian seragam sekolah, pakaian Hari Raya, batik dan pakaian korporat yang ditawarkan oleh TERAS.
Bagi kemasukan Januari 2027, Akademi YASA-MUIP menjangkakan lebih 70 orang pelajar baharu terdiri daripada golongan asnaf dan anak yatim. Perkembangan ini membuka ruang kepada TERAS untuk turut menyumbang melalui penyediaan keperluan pakaian pelajar secara lebih tersusun.
Selain pembekalan, kedua-dua pihak turut meneroka peluang pembangunan kemahiran pelajar melalui kursus kendalian TERAS seperti jahitan kreatif, pembuatan roti dan kemahiran digital. Pendedahan ini diharap dapat membantu pelajar membina kemahiran praktikal serta keyakinan sebagai persediaan untuk masa hadapan.
Pertemuan ini diharapkan menjadi langkah awal kepada kerjasama yang lebih erat antara TERAS dan YASA-MUIP dalam memperkasa pelajar asnaf dan anak yatim, bukan sahaja dari aspek memenuhi keperluan mereka, tetapi juga melalui pembangunan kemahiran dan potensi diri.
TERAS komited untuk terus membina jaringan kerjasama bersama agensi dan institusi strategik dalam memperluas peluang pembangunan serta memperkasa golongan yang memerlukan.
838744488 1054069470968111 6512795680463780111 n 682x1024

Comments are disabled.