KLANG, SELANGOR | 5–6 SEPTEMBER 2026 – Teraju Ekonomi Asnaf Sdn. Bhd. (TERAS) telah melaksanakan Kursus Teknikal Masakan Katering khusus kepada Usahawan Asnaf Lembaga Zakat Selangor (LZS) yang melibatkan seramai 10 orang usahawan asnaf. Kursus yang berlangsung selama dua hari ini bertempat di GIATMARA Klang dan merupakan salah satu inisiatif bimbingan TERAS dalam memperkasa kemahiran, meningkatkan keupayaan serta membina keyakinan usahawan asnaf untuk mengembangkan potensi diri dalam bidang keusahawanan.
Kursus ini dikendalikan oleh Puan Siti Lydiawati binti Jumri, seorang usahawan katering dan pengusaha restoran yang berpengalaman dalam bidang penyediaan makanan serta pengurusan perniagaan. Lebih membanggakan, beliau turut merupakan usahawan Asnaf yang telah berjaya meningkatkan taraf ekonomi dan keluar daripada status Asnaf hasil daripada proses bimbingan dan pembangunan keusahawanan yang dilalui bersama TERAS.
Penglibatan beliau sebagai tenaga pengajar bukan sahaja memberikan pendedahan dari aspek teknikal, malah menjadi inspirasi dan contoh kejayaan sebenar kepada para peserta bahawa golongan Asnaf juga mampu membina perniagaan yang berdaya maju, meningkatkan pendapatan dan seterusnya mencapai kemandirian ekonomi.
Kursus ini memberi penekanan kepada aspek kemahiran teknikal masakan katering, pengendalian makanan yang bersih dan selamat, perancangan menu, penyediaan makanan secara sistematik, kawalan kuantiti dan kualiti, pengiraan kos bahan mentah, penetapan harga jualan, penyajian serta pengurusan operasi katering. Peserta turut diberikan pendedahan mengenai kepentingan menjaga kualiti produk dan perkhidmatan bagi memenuhi kehendak serta meningkatkan kepuasan pelanggan.
Selain kemahiran teknikal, peserta turut dibimbing untuk memahami aspek pengurusan dan kelangsungan perniagaan, termasuk kawalan kos, pengurusan tempahan, pengurusan pelanggan dan strategi meningkatkan daya saing dalam industri makanan dan katering. Pendekatan pembelajaran secara praktikal membolehkan peserta memperoleh pengalaman secara langsung dan mengaplikasikan pengetahuan yang dipelajari mengikut situasi sebenar perniagaan.
Pelaksanaan kursus ini diharapkan dapat meningkatkan kompetensi, keyakinan dan kebolehpasaran usahawan asnaf, di samping membuka peluang kepada peserta untuk menjana sumber pendapatan yang lebih stabil melalui bidang katering. Ilmu dan kemahiran yang diperoleh juga diharapkan dapat diterjemahkan kepada tindakan sebenar dalam pengurusan perniagaan, sekali gus membantu peserta meningkatkan kualiti produk, memperluaskan pasaran dan meningkatkan hasil jualan.
Melalui inisiatif bimbingan yang berterusan, TERAS komited untuk terus memperkasa usahawan Asnaf melalui pembangunan ilmu, kemahiran dan keupayaan keusahawanan agar mereka mampu berdikari, meningkatkan taraf sosioekonomi keluarga dan bergerak secara progresif ke arah kemandirian ekonomi.

