Pulau Pinang | 7 September 2026 – Pihak Teraju Ekonomi Asnaf Sdn. Bhd. (TERAS) telah mengadakan kunjungan hormat ke Ibu Pejabat Yusuf Taiyoob Sdn. Bhd. di Pulau Pinang.
Delegasi TERAS diketuai oleh En. Mohd Hasnul Redza bin Abd Rahim, Ketua Pegawai Eksekutif TERAS, bersama Pn. Fasihah binti Mat Radzi, Pengurus Besar Operasi, serta tiga orang pegawai TERAS.
Kunjungan tersebut telah disambut oleh Dato’ Seri Yusuf Taiyoob dan Dato’ Abdul Rahim Taiyoob daripada Yusuf Taiyoob Sdn. Bhd.
Pertemuan yang berlangsung dalam suasana mesra itu memberi peluang kepada kedua-dua pihak untuk bertukar pandangan dan berkongsi pengalaman berkaitan operasi perniagaan, pembekalan, pengedaran serta rantaian bekalan.
Dalam sesi tersebut, TERAS turut berkongsi mengenai peranan dan aktiviti syarikat, di samping meneroka ruang dan potensi kerjasama strategik antara TERAS dan pihak Yusuf Taiyoob Sdn. Bhd.
Kunjungan ini turut menjadi platform kepada TERAS untuk memperluas jaringan strategik bersama pihak industri serta membuka ruang kepada perbincangan lanjut mengenai peluang kerjasama yang bersesuaian pada masa hadapan.
Sesi kunjungan diakhiri dengan penyampaian cenderamata dan sesi fotografi bersama sebagai tanda penghargaan dan kenang-kenangan antara kedua-dua pihak.

