Shah Alam, 15 Januari 2026 – TERAS telah menganjurkan Majlis Perutusan Pengerusi TERAS Bagi Tahun 2026 bertempat di Dewan Orkid PKPS, Wisma PKPS, Shah Alam, dari jam 10.00 pagi hingga 1.00 petang, yang telah dihadiri oleh Ahli Lembaga Pengarah serta seluruh warga kerja TERAS.
Majlis ini merupakan platform utama penyampaian hala tuju strategik, keutamaan organisasi dan gerak kerja TERAS bagi tahun 2026. Dalam perutusannya, Pengerusi TERAS, Dato’Haji Bakhtiar bin Hussin menegaskan bahawa tahun 2026 merupakan tahun pengukuhan organisasi serta penilaian keupayaan sebenar syarikat, di mana pencapaian prestasi, kecekapan pelaksanaan dan disiplin organisasi menjadi penanda aras utama kelestarian dan daya saing TERAS.
Antara intipati utama perutusan ialah penekanan terhadap pencapaian Petunjuk Prestasi Utama (KPI) berasaskan empat perspektif utama iaitu kewangan, pelanggan dan pemegang taruh, proses dalaman serta pembelajaran dan pengembangan modal insan, selari dengan pendekatan pengurusan prestasi menyeluruh organisasi. Setiap sektor digesa memainkan peranan secara bersepadu bagi memastikan sasaran strategik tahun 2026 dapat direalisasikan dengan berkesan.
Majlis ini turut menjadi wadah penyelarasan kefahaman dan komitmen bersama antara Lembaga Pengarah dan warga kerja dalam memperkukuh pelaksanaan strategi, meningkatkan profesionalisme serta memacu TERAS ke arah organisasi yang lebih berdaya saing dan berimpak tinggi pada masa hadapan.

