18 Mei 2026, Kuala Selangor – Teraju Ekonomi Asnaf Sdn. Bhd. telah melancarkan Projek TERAS Akuakultur – Penternakan Ikan Tilapia, sebuah inisiatif pembangunan komuniti yang memberi fokus kepada latihan kemahiran, pemerkasaan ekonomi dan pembangunan sosioekonomi mampan khususnya kepada golongan asnaf, B40 serta komuniti setempat.
Majlis perasmian projek yang berlangsung di Tanjung Karang, Selangor telah disempurnakan oleh Senator Dato’ Setia Haji Salehuddin bin Saidin selaku Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor.
Projek ini dilaksanakan menggunakan teknologi bioflok, iaitu sistem penternakan moden yang lebih efisien, sistematik serta menjimatkan kos operasi. Sebagai fasa permulaan, projek ini melibatkan pembangunan lima kolam ternakan yang dijangka mampu menghasilkan purata sehingga 700 kilogram ikan tilapia setiap bulan bagi memenuhi permintaan pasaran tempatan.
Hasil ternakan akan dipasarkan kepada pemborong, pengusaha restoran dan komuniti setempat termasuk melalui pelaksanaan program Jualan Rahmah MADANI, sekali gus membantu memperkukuh agenda keterjaminan makanan dan akses kepada sumber makanan berkualiti pada harga berpatutan.
Selain memberi fokus kepada pengeluaran hasil ternakan, projek ini turut berperanan sebagai platform latihan dan pembangunan kapasiti komuniti. Peserta akan didedahkan dengan latihan teknikal, pengurusan operasi serta kemahiran keusahawanan bagi membantu mereka menjana pendapatan secara mampan dan berdaya saing.
Dalam ucapan perasmian, Pengerusi MAIS menzahirkan harapan agar Projek TERAS Akuakultur dapat berkembang sebagai pusat latihan dan rujukan akuakultur moden yang mampu memberi manfaat berterusan kepada masyarakat. Beliau turut menekankan bahawa pendekatan pembangunan seperti ini selari dengan aspirasi memperkukuh ekonomi ummah, meningkatkan taraf sosioekonomi komuniti serta memperluas peluang ekonomi kepada golongan yang memerlukan.
Projek ini juga mempunyai potensi untuk dikembangkan kepada penghasilan produk hiliran seperti produk ikan siap proses, makanan sejuk beku dan makanan sedia dimasak, sekali gus meningkatkan nilai pasaran serta memperluas capaian pengguna melalui platform digital dan kerjasama strategik industri.
Dengan sokongan pelbagai pihak termasuk Majlis Agama Islam Selangor, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia, Jabatan Perikanan Malaysia serta rakan strategik industri, TERAS yakin projek ini mampu menjadi antara model pembangunan ekonomi komuniti berasaskan akuakultur moden yang berimpak tinggi di Malaysia.

