SERDANG, 29 Julai – Teraju Ekonomi Asnaf Sdn. Bhd. (TERAS) telah mengadakan kunjungan hormat ke Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) bagi meneroka peluang dan ruang kerjasama strategik yang berpotensi memberi manfaat kepada kedua-dua organisasi dalam memperkukuh pembangunan usahawan serta memajukan sektor agromakanan negara.
Delegasi MARDI diketuai oleh YBrs. Dr. Sanimah binti Simoh, Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan & Operasi), bersama En. Abu Bakr bin Mohd Hanim, Timbalan Pengarah Program Agrepreneur Muda, Dr. Mohd Nizam bin Mohd Nizat, Timbalan Pengarah Program Pembangunan Usahawan, En. Abdul Rahman bin Abdul Razak, Timbalan Pengarah Program Pemindahan Teknologi, En. Mohd Fadil bin Mohd Yunus, Timbalan Pengarah Program Hubungan Antara Jabatan/Agensi serta En. Nur Mohd Saifussin bin Salahuddin, Pegawai Penyelidik Kanan Program Hubungan Antara Jabatan/Agensi.
Delegasi TERAS pula diketuai oleh En. Mohd. Hasnul Redza bin Abdul Rahim, Ketua Pegawai Eksekutif, bersama Pn. Fasihah binti Mat Radzi, Pengurus Besar Operasi, En. Muhammad Muaz Hariri bin Mohamed Subadri, Ketua Bahagian Sektor Pembangunan Usahawan, En. Azman bin Ramly, Pengurus Tugas-Tugas Khas serta seorang pegawai TERAS.
Pertemuan tersebut menjadi platform bagi kedua-dua pihak untuk meneroka peluang kerjasama strategik yang berpotensi memberi manfaat kepada TERAS dan MARDI. Sesi perbincangan berlangsung dalam suasana yang positif dan konstruktif menerusi pertukaran idea serta pandangan mengenai pelbagai inisiatif yang boleh diterokai secara bersama pada masa hadapan.
Semoga pertemuan ini menjadi titik permulaan kepada hubungan strategik yang lebih erat antara TERAS dan MARDI, seterusnya membuka lebih banyak peluang kerjasama yang mampu memberi manfaat kepada usahawan, industri serta pembangunan ekonomi negara.

