Tanjung Karang, 03 Ogos – Teraju Ekonomi Asnaf Sdn. Bhd. (TERAS) telah menerima kunjungan delegasi antarabangsa daripada Saito University bersama 175 orang pelajar pertukaran dari Thiagarajar School of Management (TSM), Madurai, India ke TERAS Akuakultur, Sungai Kajang, Tanjung Karang Selangor.
Lawatan ini bertujuan memberi pendedahan kepada para pelajar mengenai model pembangunan ekonomi komuniti yang dilaksanakan oleh TERAS melalui pelbagai sektor keusahawanan dan latihan kemahiran.
Sepanjang lawatan, delegasi telah dibawa melawat projek akuakultur ikan tilapia, Bengkel Jahitan TERAS serta Gedung Fesyen TERAS. Para peserta turut diberikan penerangan mengenai operasi, perkhidmatan, latihan kemahiran, serta inisiatif pembangunan usahawan yang dilaksanakan oleh TERAS dalam memperkasakan ekonomi masyarakat.
Delegasi menunjukkan minat yang tinggi terhadap pendekatan TERAS dalam menggabungkan aspek latihan kemahiran, keusahawanan dan pembangunan komuniti bagi meningkatkan taraf sosioekonomi golongan asnaf dan B40.
Semoga lawatan ini menjadi platform untuk mengeratkan hubungan, berkongsi ilmu serta membuka ruang kerjasama pada masa hadapan di peringkat antarabangsa.

