Shah Alam, Selangor | 15 Ogos 2026 – Teraju Ekonomi Asnaf Sdn. Bhd. (TERAS) telah terlibat dalam Program Pathway for Asnaf Transformation and Holistic Development anjuran Divisyen Pembangunan Asnaf, Lembaga Zakat Selangor (LZS) yang berlangsung di Wisma PKPS, Shah Alam pada 15 Ogos 2026 menerusi pengisian Slot Pembangunan Usahawan.
Slot tersebut telah disampaikan oleh Eksekutif Pembangunan Usahawan TERAS, Encik Ahmad Azri Azroie bin Hashim Fahmi, yang menerangkan peranan dan penglibatan TERAS dalam menyokong usaha LZS membangunkan usahawan asnaf secara lebih tersusun dan menyeluruh.
Dalam sesi tersebut, Encik Ahmad Azri Azroie berkongsi mengenai pendekatan TERAS dalam pemantauan dan bimbingan usahawan, pembangunan perniagaan, penyaluran bantuan modal serta pelaksanaan latihan dan program peningkatan kapasiti bagi membantu usahawan memperkukuh perniagaan masing-masing.
Penglibatan TERAS dalam program ini turut menjadi platform untuk memberikan kefahaman kepada peserta mengenai ekosistem pembangunan usahawan yang dilaksanakan, termasuk kepentingan pemantauan berterusan bagi mengenal pasti perkembangan, cabaran serta keperluan sokongan setiap usahawan.
Melalui penglibatan ini, TERAS komited untuk terus menyokong agenda LZS dalam memperkasa usahawan asnaf agar lebih berdaya saing, berdaya tahan dan mampu membina perniagaan yang mampan, seterusnya meningkatkan tahap kemandirian ekonomi golongan asnaf.
TERAS akan terus memperkukuh kerjasama strategik bersama Lembaga Zakat Selangor dan pelbagai pihak berkepentingan dalam usaha memperkasakan pembangunan usahawan melalui pendekatan yang menyeluruh merangkumi aspek pemantauan, pembangunan, bantuan modal dan latihan, selaras dengan aspirasi untuk melahirkan usahawan asnaf yang lebih kukuh dan berdaya maju.

