PAHANG | 21 -22 SEPTEMBER 2026 - Sesi Pemantauan Akhir Program Ikhtiar Tabung Haji – Usahawan Asnaf Negeri Pahang telah dilaksanakan melibatkan 10 orang usahawan asnaf bagi menilai perkembangan prestasi perniagaan serta keberkesanan penggunaan bantuan peralatan yang disalurkan melalui Dana Zakat Wakalah Tabung Haji.
Pemantauan ini diketuai oleh En. Muhammad Hafifi bin Hamir dan En. Uzzair Haqimi, yang merupakan kakitangan TERAS. Sesi ini turut disertai oleh Ketua Seksyen Pemerkasaan Komuniti, Tabung Haji Kuala Lumpur, Tuan Haji Ekma Faroza bin Kamarudin, Pengarah Tabung Haji Negeri Pahang, Tuan Haji Rosdi bin Dollah, serta Pengurus Cawangan Tabung Haji Daerah dan beberapa pegawai Tabung Haji. Pihak Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) di peringkat daerah turut hadir bagi bersama-sama menyokong pelaksanaan sesi pemantauan ini.
Antara fokus utama pemantauan ini adalah:
• Menilai perkembangan dan prestasi perniagaan usahawan.
• Meneliti penggunaan bantuan modal dan peralatan yang telah diterima.
• Mengenal pasti perubahan dari aspek jualan, pendapatan dan kapasiti perniagaan.
• Mengenal pasti cabaran serta keperluan sokongan susulan usahawan.
• Mendapatkan maklum balas bagi tujuan penambahbaikan dan pelaporan impak program.
Pelaksanaan pemantauan secara berterusan ini menjadi salah satu usaha penting dalam memastikan bantuan yang disalurkan dapat dimanfaatkan secara optimum serta menyokong kelangsungan dan perkembangan perniagaan usahawan asnaf.
Komitmen dan kerjasama berterusan antara TERAS, Tabung Haji dan MUIP diharap dapat terus memperkukuh ekosistem pembangunan usahawan asnaf melalui pendekatan yang tersusun, bersasar dan berimpak.

