14 Jun 2022 | Masa 2.00 petang | Shah Alam | – Teraju Ekonomi Asnaf Sdn. Bhd. (TERAS), sebuah anak syarikat milikan penuh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) telah mengadakan satu Majlis Ramah Mesra Bersama Rakan Strategik TERAS bertempat di Dewan Orked, Wisma PKPS, Shah Alam.

Dalam majlis tersebut, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) telah menerima bayaran dividen bagi tahun 2021 daripada Teraju Ekonomi Asnaf Sdn. Bhd. (TERAS) berjumlah RM192,186.00. Penyampaian serahan cek disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Ibrahim bin Md Yusof selaku Pengerusi TERAS kepada Yang Berbahagia Sahibus Sahamah Dato’ Dr. Anhar bin Opir, Mufti Selangor merangkap ahli MAIS.

Lembaga Zakat Selangor (LZS) turut menerima bayaran bagi Zakat Perniagaan tahun 2021 berjumlah RM50,000.00, Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) bayaran bagi sumbangan wakaf tahun 2022 berjumlah RM50,000.00 dan sumbangan kepada anak-anak yatim  seliaan Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) berjumlah RM50,000.00. Penyampaian serahan cek disempurnakan oleh Yang Berbahagia Sahibus Sahamah Dato’ Dr. Anhar bin Opir, Mufti Selangor merangkap ahli MAIS kepada Ustaz Anuar Hamzah bin Tohar, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PWS, En. Mohd. Sabirin bin Mohd. Sarbini, Ketua Pegawai Eksekutif LZS, dan Dato’ Haji Bakhtiar bin Hussin, Pengerusi YIDE.

Di dalam majlis tersebut, pihak TERAS juga telah mengadakan Pelancaran Portal MyTERAS Shop, sebuah platform pembelian atas talian yang memasarkan lebih 100 jenis produk berkualiti terdiri daripada produk-produk usahawan bimbingan TERAS, produk usahawan Industri Kecil Sederhana (IKS) dan produk makanan mentah kering seperti yang berada di pasaran dengan harga yang lebih berpatutan. Perasmian pelancaran Portal MyTERAS Shop telah disempurnakan oleh Yang Berbahagia Sahibus Sahamah Dato’ Dr. Anhar bin Opir, Mufti Selangor merangkap ahli MAIS.

Sebanyak RM0.10 daripada pembelian bernilai RM10.00 akan diinfaqkan kepada golongan yang memerlukan, sesuai dengan tagline “Jom Beli dan Infaq” yang digunakan.

Comments are disabled.