MELAKA, 9 Julai 2026 - Teraju Ekonomi Asnaf Sdn. Bhd. (TERAS) telah mengadakan kunjungan hormat ke Pejabat Pembangunan Negeri Melaka (ICU JPM Melaka) sebagai langkah memperkukuh hubungan strategik serta meneroka potensi kerjasama dalam pelaksanaan program pembangunan sosioekonomi dan pemerkasaan usahawan.
Delegasi TERAS diketuai oleh En. Mohd Hasnul Redza bin Abd Rahim, Ketua Pegawai Eksekutif TERAS, bersama Pn. Fasihah binti Mat Radzi, Pengurus Besar Operasi dan seorang pegawai.
Delegasi telah disambut oleh YBrs. Tuan Haji Mohd Shahrul bin Shari, Pengarah Pembangunan Negeri Melaka, bersama Puan Jalilah binti Abd Jalil, Penolong Pengarah serta barisan pegawai ICU JPM Melaka.
Sesi perbincangan berlangsung dalam suasana yang positif dengan memberi fokus kepada peluang kolaborasi strategik bagi memperkasakan pembangunan ekonomi masyarakat melalui pelaksanaan program keusahawanan, pembangunan kapasiti serta inisiatif yang mampu memberi impak mampan kepada golongan sasar.
Semoga jalinan kerjasama ini menjadi pemangkin kepada pelaksanaan lebih banyak program berimpak tinggi demi kesejahteraan masyarakat.

